Penilaian Tahap Kesedaran, Keberkesanan Dan Pematuhan Terhadap Peraturan Penggunaan Komputer: Kajian Kes Di Universiti Utara Malaysia

  • Nor Aziah Abdul Rahman Universiti Utara Malaysia
  • Abdul Manaf Bohari Universiti Utara Malaysia

Abstract

Penggunaan teknologi komputer pada masa kini telah menjadi keperluan utama sekaligus menjadi asas penting dalam menggerakan kemajuan sosial ekonomi masyarakat. Dalam konteks pendidikan tinggi khususnya universiti, penggunaan teknologi komputer akan mempertingkatkan nilai tambah kepada proses pembelajaran dan pengajaran termasuklah kualiti pendidikan itu sendiri. Secara khususnya, penggunaan komputer di kalangan pelajar akan membantu dalam menyelesaikan masalah pembelajaran. Dalam pada itu, perkembangan dan kemajuan teknologi berkaitan komputer seperti Internet, perisian, rangkaian, dan sebagainya telah mempertingkatkan kepentingan komputer sebagai medium utama pembelajaran peringkat universiti. Sunggupun demikian, penggunaan komputer disebaliknya berupaya mewujudkan kesan negatif, misalnya penyalahgunaan teknologi Internet akan menyebabkan penyebaran virus, penyebaran maklumat palsu, pornografi, pemalsuan dokumen, pencerobohan dan sebagainya. Untuk itu, kajian ini adalah bertujuan (i) mengenalpasti tahap kesedaran pelajar terhadap kandungan garis panduan penggunaan komputer; (ii) mengenalpasti tahap keberkesanan garis panduan penggunaan komputer terhadap aktiviti penggunaan komputer; dan (iii) menilai tahap pematuhan pelajar terhadap etika penggunaan komputer. Kajian ini dilaksanakan di kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia dengan reka bentuk kajian dengan sejumlah 100 responden dipilih di kalangan pelajar melalui kaedah persampelan mudah. Tiga hipotesis akan dibentuk dan diuji. Secara umumnya, hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kesedaran terhadap garis panduan komputer dengan tahap pematuhan terhadap etika penggunaan komputer. Kolerasi yang kuat telah dikenalpasti di antara tahap kesedaran garis panduan penggunaan komputer dengan tahap keberkesanan garis panduan penggunaan komputer. Akhir sekali, cadangan dikemukakan bagi mempertingkatkan amalan baik penggunaan komputer dalam konteks universiti khususnya dalam membantu proses penyelesaian masalah pembelajaran di kalangan para pelajar.